Thursday, October 09, 2008

Demam ekonomi

Lengkungan Phillips

Dalam tengah-tengah kehangatan ekonomi ini. Seronok juga melayan telatah lelucon yang berkaitan ekonomi. Seperti biasa, video ini saya kongsikan selepas menontonnya dalam kelas ekonomi baru baru ini.



Suatu perkara yang saya mengesani diri saya pada pelajaran kali ini adalah sesuatu polisi ekonomi tidak mampu menggembirakan semua pihak. Perkara ini dijelaskan oleh encik pensyarah dengan menggunakan lengkungan Phillips. Contohnya, dalam menurunkan inflasi, kita harus bersedia mengurangkan pendapatan domestik kasar (GDP) dan masalah pengangguran akan berlaku. Jika kita mahu mengurangkan masalah pengangguran, masalah yang akan kita hadapi adalah kenaikan inflasi. Harus diingat, masalah ini berlaku dalam jangkamasa yang pendek. Perkara ini juga mengingatkan saya jika kita mahu berjaya untuk jangkamasa yang panjang, kita harus bersedia berkorban. Kejayaan lazimnya dibayar dengan harga sebuah pengorbanan.

Cerita tentang ekonomi polisi ini saya teringat akan laporan polis berkenaan tindakan Dr M yang menjahanamkan ekonomi negara.

Di New Zealand ini, debat berterusan sama ada mahu menaikkan kadar faedah ataupun tidak. Demam ekonomi dunia yang menyerang Amerika turut dirasa bahangnya di sini.

Interest rates should come down now - Key

Reserve Bank rules out early rate cut

Wednesday, October 08, 2008

Prinsip dan politik

[Terkini]Yang seorang lagi itu tidak akan bertanding pada pemilihan UMNO march depan. Ini membuktikan jangkaan saya salah dan saya terkejut. Asyik betul saja jangkaan saya kali ini salah apa salahnya..
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengesahkan tidak akan mempertahankan kerusi Presiden Umno Mac depan, sekali gus dijangka membuka luas gelanggang persaingan pemilihan parti kali ini.

Abdullah akan melepaskan kedua-dua jawatan Perdana Menteri dan Presiden Umno pada Mac depan.[pautan]
[Entri asal]
Kita disajikan dengan pelbagai berita politik yang saya fikir cukup basi untuk saya hidangkan kali ini. Namun kali ini saya tertarik mahu berkongsi sesuatu yang saya rasa menyentuh perasaan saya sebagai seorang rakyat dan manusia biasa. Saya tahu ramai yang akan mengutarakan rasa tidak puas hati kerana kelantangan dan cadangan beliau yang bertentangan dengan prinsip parti-parti politik yang tertentu. Saya masih dengan pendirian saya, menyokong sesiapa yang saya lihat memperjuangkan kebenaran, lebih dari perjuangan parti mahupun individu. Saya masih teringat bagaimana beliau pernah digelar 'bapak syaitan' oleh seorang individu yang merasakan dirinya sudah habis malaikat. Minta dijauhkan..

PETALING JAYA: Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin menjelaskan beliau mengambil keputusan untuk melepaskan jawatan sebagai Mufti Perlis sebagai tanda protes kepada kerajaan negeri.

"Saya berhenti sebagai tanda protes kepada kerajaan negeri," katanya ketika dihubungi mStar Online hari ini.

Ditanya sama ada pengunduran tersebut disebabkan kekecewaan beliau terhadap kerajaan negeri, Asri berkata, beliau telah menegur dan menyampaikan apa yang perlu diperkatakannya [pautan]

Ini pula dipetik dari blog beliau

Oleh kerana isu perletakan Jawatan Dr. Mohd Asri bin Zainul Abidin sebagai Mufti Perlis telah menjadi polemik, maka dengan ini dikeluarkan beberapa kenyataan rasmi;

  1. Isu ini diharapkan tidak dipanaskan lagi kerana beliau telah membuat keputusan dan surat beliau kepada USM untuk kembali bertugas telah pun dihantar dengan rasminya.
  2. Beliau juga berterima kasih kepada Negeri Perlis yang telah memberi peluang kepadanya sepanjang tempoh yang lepas.
  3. ‘Permainan silap mata politik’ adalah perkara yang biasa berlaku dalam negara ini, namun maksud tersebut tercapai dengan mudah kerana beliau sendiri mempunyai hasrat untuk berhenti.
  4. Terima kasih kepada Kerajaan Perlis yang lepas dan juga Pihak Istana Perlis yang selama ini memberikan ruang yang amat baik.
  5. Tanggungjawab dakwah dan seruan kepada kebenaran akan diteruskan seperti biasa.
  6. Perletakkan ini juga adalah bukti bahawa pandangan, teguran atau sokongan tidak bertujuan mendapat kedudukan dan jawatan.
  7. Beliau kemungkinan akan pergi membuat cuti penyelidikan di luar negara dalam masa yang terdekat.
  8. Ruang dakwah dan memberikan pandangan insyaAllah masih terbuka di masa hadapan dengan apa yang akan Allah permudahkan.
  9. Pandangan yang berpaksi prinsip sentiasa terpaksa membayar harganya, dan ini mungkin sebahagian daripadanya.
  10. Diharapkan mereka yang berjawatan yang sama selepas ini sentiasa memberikan pandangan untuk kebaikan imej Islam, rakyat dan negara.
  11. Beliau berdoa kepada Allah agar dalam tempoh dua tahun yang lepas semasa beliau bertugas sebagai mufti beliau telah berbuat sesuatu dalam pembinaan prinsip dan minda rakyat berasaskan kepada kefahaman dari al-Quran dan al-Sunnah.
  12. Kontrak muftinya akan tamat pada akhir Oktober 2008.
  13. Terima kasih kepada banyak pihak; rakyat dan pemimpin yang telah memberikan sokongan moral dan semngat yang begitu padu selama ini.

** Penjelasan rasmi daripada Mufti Perlis ini disediakan oleh webmaster drmaza.com
** Terima kasih.

Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada DrMAZA kerana telah membuka mata kalangan mereka yang benar-benar mahu mempelajari Islam dan saya ucapkan selamat menempuhi cabaran yang baru.

Saya masih tertunggu pendirian yang seorang lagi, sama ada mahu bertanding atau pun tidak pada pemilihan UMNO yang ditangguh sehingga ke bulan Mac 2009. Kenapa perlu tangguh kalau tidak mahu bertanding? Apa-apa pun jawapan akan diketahui tidak lama lagi.
Sengaja saya petik sesuatu dari Che Det,

5. It is said that on 9th October, the day before the divisions are to hold their meetings, he will announce that he will not stand for election as President of UMNO. The question is, will he announce it? I have this suspicion that he will not. If he does not it would not be surprising. He is not a man of his words.



Sunday, October 05, 2008

Cahaya penyaksian

Saya lambat mengucapkan selamat hari raya aidil fitri kepada tetamu blog ini. Maka dengan penuh perutnya, saya mengucapkan selamat hari raya aidilfitri kepada muslimin dan muslimat yang menyambutnya, tidak kira tua muda, tinggi rendah, kacak bergaya, gemuk kurus, cantik menarik tertarik, riuh sepi, bujang, teruna dara, dan apa-apa sahaja status anda buat masa ini.

Hari raya pada tahun ini masih seperti 2,3 tahun yang dahulu, tanpa keluarga menemani. Walaubagaimanapun saya tidak sepi kerana banyak acara rumah terbuka yang jika saya mahu senaraikan, tidaklah dapat saya berbuat demikian kerana terlalu banyak dan saya sudah terlupa. Apa-apapun kepada tuan rumah yang sudi menjemput saya, atau pun tidak jemput tetapi saya ada, maka saya ucapkan terima kasih kerana sudi melayan kerenah saya di rumah anda.

Tahun ini saya ada juga mencuba berbuat sesuatu di dapur. Walaubagaimanapun usaha saya itu agak mengecewakan kerana kurangnya ilmu dan kepakaran. Bila ilmu sudah diturunkan dari emak semuanya sudah terlambat kerana bahan-bahan mentah sudah pun habis digunakan.

Penulis, rakan-rakan dan saudara baru itu [gambar ihsan Selor]

Saya juga meraih pengalaman pertama membawa rakan saya memeluk Islam. Saya dan beberapa rakan yang lain membawa rakan Jerman saya ini ke masjid pada waktu Asar untuk mengisytiharkan keislaman beliau. Walaubagaimanapun Imam masjid tiada ketika itu. Maka kami bercadang membawa beliau kembali pada waktu magrib. Bukanlah syahadah/penyaksian itu wajib dibuat di masjid. Dia sudah pun mengucapkan syahadah di hadapan rakan saya sebelum ini. Cumanya penyaksian di masjid ini menjadi satu sambutan terhadap beliau dan menjadi media pemberitahuan kepada jemaah yang lain. Imam berada di masjid ketika itu dan kami dibawa ke dalam pejabatnya untuk berbincang ringkas tentang penyaksian beliau itu. Saya cukup tersentuh dengan cara Imam menjelaskan Islam seringkas yang mungkin. Ringkas tapi padat. Malahan beberapa pesanan beliau kepada rakan Jerman saya ini turut terkena kepada kami yang dilahirkan Islam ini. Kemudian, rakan Jerman saya ini dibawa ke ruang solat masjid dan dia melafazkan syahadah/penyaksiannya di hadapan kami dan jemaah-jemaah yang lain. Sungguh saya tersentuh ketika itu. Jemaah yang hadir berpelukan menyambut kedatangan seorang saudara baru. Dia kemudian dijamu dengan makanan yang kebetulan di masak dan saya turut sama tumpang sekaki. Dia mengucapkan terima kasih kepada saya, tetapi bagi saya, saya yang seharusnya berterima kasih kepada beliau kerana selama ini saya merasakan saya mengambil Islam kerana saya dilahirkan Islam. Dia mengingatkan saya pada diri saya sendiri, sebagai seorang muslim. Saya sedar bahawa pencarian mencari kebenaran ini sukar, dan orang-orang yang benar-benar berusaha dan ditunjukkan oleh Tuhan akan menjumpainya.



Tanggungjawab membimbing beliau kini jatuh di tangan rakan-rakan muslim di sini. Sama-samalah kita bantu dan bimbing beliau dalam mengharungi hidup sebagai seorang muslim. Usahlah dipersoalkan mengapa dia masuk Islam. Serahkan urusan ini kepada Tuhan, yang menunjuki jalan ke arah penyaksian ini. Tanggungjawab kita hanya membimbing dan menasihati seadanya.

Saya bersyukur kepada Tuhan kerana sahabat saya sudah selamat sampai di Pekan. Saya tidak dapat berbual dengan beliau kerana talian telefon tidak dapat dicapai atau mungkin dia sudah menukar nombor baru. Walaubagaimanapun, diberitakan bahawa dia trauma akan kejadian itu.

KUALA LUMPUR: Pengalaman menakutkan sepanjang menjadi tahanan lanun bersenjata tetap segar dalam ingatan jurutera kelima kapal Bunga Melati 5, Mohd Firdaus Zainuddin, 23, yang masih mengalami trauma walaupun sudah hampir seminggu dibebaskan. [pautan]

Seorang lagi rakan, Tarmizie@Laloq kini berada di dalam Unit Rawatan Kecemasan kerana kemalangan. Saya tidak mengetahui maklumat yang terperinci, tetapi doakan dia untuk kembali pulih.

Tuesday, September 30, 2008

Bebas

Alhamdulillah,
Tebusan Melati 2 sudah dibebaskan

KUALA LUMPUR 29 Sept. – Harapan 29 lagi anak kapal warga Malaysia yang dijadikan tebusan sejak 42 hari lalu menyertai rakan-rakan mereka untuk berhari raya bersama ahli keluarga masing-masing tercapai apabila lanun bersenjata Somalia membebaskan kapal MT Bunga Melati 2, pagi ini.[pautan]

Gembira!

Sunday, September 28, 2008

Wayang


Ramadan bakal meninggalkan saya, dia, awak, mereka dan kami. Terdetik di dalam hati adakah segala kebaikan yang dilakukan hanya bersandarkan pada bulan ramadan?. Adakah kita sekadar berlakon dengan watak alim dan warak hanya pada bulan ini? Atau dengan erti kata lain adakah kita bermain wayang?

Mohon doa agar segala amalan diterima, diampun, dan dilepaskan dari api neraka. Mohon juga agar kita tidak bermain wayang, kerana sesungguhnya kita adalah muslim sepenuh masa, bukan separuh masa, sesuku masa, mahupun setiga suku masa.

Kita selalu bising-bising akan ahli-ahli politik yang bermain wayang dan berlakon bagi meraih simpati pengundi. Namun, usah dilupakan diri sendiri. Adakah kita bermain wayang dengan Tuhan?
Mohon dijauhkan..

P.s:
1. Dengan izin Tuhan, ini adalah ramadan terakhir saya.. Ramadan terakhir di sini, Christchurch. Pertama ramadan saya di sini saya sudah tempuhi, dengan perasaan rindu pada keluarga di sana. Ramadan terakhir ini di sini hampir habis saya tempuhi, masih dengan perasaan rindu pada keluarga di sana, si dia, dan saya juga tahu, saya akan rindu pada pada rakan-rakan di sini yang bakal saya tinggalkan nanti....

2. Melati 5 sudah dibebaskan. Doakan Melati 2 menyusul selepas ini. Moga-moga semua sempat beraya bersama keluarga, bukan bersama lanun-lanun nun jauh di sana... [bersalah]

3. Alhamdulillah, atas segala ujian dan kesukaran yang kita tempuhi. Contohi Abg Dol ini, hilang anak, hilang bini, hilang ibu, ucapan Alhamdulillah segar meniti di bibir.

Monday, September 22, 2008

Tiada lagi kejutan


Sudah sudahlah dengan terkejut. Tiada apa lagi yang harus dikejutkan, melainkan kejutkan tidurku. Begitulah monolog dalaman seorang pembaca blog ini.

Ya,setuju benar saya dengan diri saya sendiri.

Ramadan dan malam-malam terakhirnya mengajar kita supaya sentiasa berjaga-jaga supaya tidaklah kita menjadi manusia yang rugi.

Terasa pantas benar masa berlalu. Pertama ramadan sehinggalah hampir ke penghujungnya dirasakan seolah-olah sepantas kerdipan mata. Namun, itu tidak mengejutkan saya kerana memang lumrah manusia begitu. Mungkin kerana saya tidak menggunakan masa sebaiknya dan membuangnya sebegitu saja, maka saya rasakan masa pantas meninggalkan tanpa sempat saya mengejarnya kembali.

Ampunkan aku ya Tuhan..

Abu Hurairah (May Allah be pleased with him) reported: The Prophet (PBUH) said, "Whosoever performs Qiyam during Lailat-ul-Qadr (Night of Decree), with Faith and being hopeful of Allah's reward, will have his former sins forgiven.''

[Al-Bukhari and Muslim]

Saturday, September 20, 2008

Bersalah

Saya rasa bersalah kerana tidak ambil pusing akan perihal kejadian penculikan anak kapal yang berlaku di Teluk Aden baru-baru ini. Saya sekadar membaca berita itu tanpa sebarang perasaan yang terkesan. Sehinggalah saya mendapat tahu bahawa rakan baik saya sejak dari zaman sekolah menengah turut berada di dalam situasi getir itu. Firdaus Zainudin@Yus adalah teman sebilik ketika di asrama SMK Seri Pekan. Rakan yang mana saya belajar erti menjadi sengal juga belajar menjadi lawak sedikit-sedikit.

Saya teringat kali terakhir kami berjumpa iaitu di gerai makanan di Pekan pada suatu malam yang saya tidak ingat hari dan tarikhnya. Kami makan-makan dan berbual akan perancangan masa depan. Saya masih ingat saya memesan char kuey teow, lazat dan murah. Saya juga teringat bagaimana bersemangatnya si Yus ini mahu meneruskan karier di dalam bidang pelayaran atau perkapalan ini. Saya ketika itu mendoakan kejayaannya.

Berita penglibatan Yus amat mengejutkan saya. Saya sepatutnya lebih peka kerana saya tahu Yus terlibat dalam pelayaran sejak dua tahun lalu. Saya sepatutnya memastikan namanya tidak ada di dalam senarai yang ditahan sebagai tebusan. Tetapi saya ini kawan yang tidak boleh pakai. Mungkin kerana sudah lama tidak berjumpa maka saya lupa akan sahabat lama saya ini.

Tiada apa yang saya dapat lakukan melainkan memanjatkan doa kepada Tuhan agar diselamatkan semua yang berada di dalam tahanan lanun-lanun itu. Semoga mereka dapat pulang ke pangkuan keluarga dalam keadaan yang sihat dan sejahtera. Lebih-lebih lagi dalam suasana ramadan dan aidilfitri yang bakal mengunjungi kita. Saya benar-benar mendoakan keselamatan mereka.

P.s: Kadang-kadang kita tidak merasai sesuatu perkara sebagai penting sehinggalah batang hidung kita sendiri yang merasainya. Sama-samalah kita berdoa..

Saya harap berita ini benar (dari Utusan), dan Yus sebenarnya tiada dalam senarai itu..

KUALA LUMPUR 9 Sept. - Senarai nama krew MT Bunga Melati 2 dan MT Bunga Melati 5 yang disiarkan dalam akhbar New Straits Times semalam adalah salah dan tidak dikeluarkan oleh MISC Berhad, kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Shamsul Azhar Abbas.[pautan]